Assalamualaikum....
Salam Nisfu Sya'aban...
Nisfu sya'aban semakin dekat, so sama-samalah kita perbanyakkan amalan kita yang seberapa ini...
Apakah terdapat hadis yang menceritakan kelebihan malam nisfu
Sya’ban dan amalan yang patut dilakukan?
Jawapan: Ya, terdapat hadith sahih mengenai kebaikan malam nisfu
Syaaban, tetapi amalan-amalan tertentu khas untuk malam tersebut adalah tidak
sabit daripada Nabi s.a.w. Antara hadith yang sahih mengenai nisfu Sy`aaban
adalah:
“Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia
ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang
bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain).
Al-Albani mensahihkan hadith ini dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah.
(jilid 3, .m.s. 135, Riyadh: Maktabah al-Ma`arf).
Hadith-hadith tentang Nisfu Sya’ban tidak mengajar kita apakah bentuk amalan
khusus malam berkenaan. Oleh itu amalan-amalan tertentu pada malam tersebut
seperti baca yasin sempena Nisfu Sya’ban, solat-solat khas tertentu adalah
bukan ajaran Nabi s.a.w. Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam menjawab soalan
berhubung dengan Nisfu Syaaban: “Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi
s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan
malam nisfu Syaaban, membaca do`a tertentu dan solat tertentu seperti yang kita
lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang
ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca
surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang
lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca
do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan
tabi’ tabi`in). Ianya satu do`a yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran
dan Sunnah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya…perhimpunan (malam nisfu
Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri
orang Islam adalah bid`ah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat
sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf,
segala keburukan itu ialah bid`ah golongan selepas mereka, dan setiap yang
diadakan-adakan itu bid`ah, dan setiap yang bid`ah itu sesat dan setiap yang
sesat itu dalam neraka. (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Fatawa Mu`asarah jilid 1,
m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut).
Allah Lebih Mengetahui
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin